Wednesday, January 9, 2013

Hanya Mahu Mencintaimu II

Bab 1


“Papa, Yung Jin ada ramai kawan kat sekolah...” Leher besar Lex Lee dipeluk erat, Yung Jin teruja baru memulakan sesi persekolahan beberapa hari lalu. Bapanya pula berada di luar negara sejak seminggu lepas mempromosikan album barunya. Tidak berkesempatan dia menyaksikan keseronokan anak kecil itu memulakan persekolahan.

Yuki senyum nipis, dia sendiri tidak menyangka anak manjanya begitu sukakan sekolah. Dia fikir kanak-kanak kecil itu akan merengek mahu dia menemani sehingga tamat waktu belajar. Malangnya
bukan sifat degil dirinya yang diwarisi, pasti sifat berdikari dan berdisiplin Lex Lee lebih banyak. “Yung Jin, duduk sayang, papa tengah  bawak kereta tu...”

            “Pandai anak papa ya, sekarang Yung Jin nak papa belanja Yung Jin apa?” Lex Lee sempat memberi isyarat tidak mengapa kepada isterinya. Dia mengerling wajah kecil anak tunggalnya di cermin pandang belakang.

            “Nak transfomer..!.” gigi putihnya berkilau dalam ruang gelap kereta. Yung Jin ketawa kecil, bapanya sudah berjanji sebelum pergi ke luar negara lagi mahu membelikan mainan itu. tetapi asyik mungkir janji saja. Yuki ketawa nipis, anak kecil mereka sedang menagih janji.

            “Okey, nanti kita cari dekat pasar raya, Yung jin ambil aje apa yang Yung Jin nak... okey sayang? Tapi Yung Jin kena duduk baik-baik kat belakang, pakai tali pinggang, boleh?” Lex Lee mengerling anak kecilnya lagi. Yung Jin seperti memikirkan sesuatu, kepalanya digaru-garu.

            “Papa janji...” tegas kanak-kanak berusia awal tujuh tahun itu.

            “Papa janji dengan Yung Jin sangat-sangat...” Lex Lee menjuihkan jari kelingkingnya ke belakang.
Yung Jin hanya memandang, lambat-lambat dia mencantumkan jari kelingking mereka berdua.
Yuki memandang jalan raya, kereta yang dipandu suaminya asyik ke tepi melanggar semak. Risau pula dia, jalan raya juga basah seperti baru lepas hujan. Terleka sedikit, pasti mengancam keselamatan mereka sekeluarga. “ Lex, bahaya...”

            “Papa laju lagi...” Yung Jin menggoyang-goyangkan tempat duduk bapanya.

            “Okay, kereta F1 Yung Jin nak terbang!” Lex Lee memecut keretanya laju.

Yuki semakin gusar, tangannya ketat menggenggam pemegang sebelah tempat duduknya. “Lex...jangan main-mainlah...”

            “Yung Jin, tengok, mama takut....” lelaki itu bergurau lagi. “Mama takut, mama takut.. yey.. yey.. mama takut..” Usik Lex Lee. wajah kecut isterinya melucukan hati. Artis lelaki itu mencuit dagu runcing isterinya lembut. Bibir merah itu menguntum senyum pekat. Rindu yang tersimpan, terlalu dalam. Akhirnya pulang jua dia ke tanah air dengan selamat. Dia mahu melepaskan semua rindu yang ada kepada mereka berdua, yang punya makna terlalu indah dan mengasyikkan di dalam hidupnya.

            “Papa!” Pekik Yung Jin.

            “Lex...” Yuki terpana, sebuah kereta tiba-tiba meluncur keluar dari lorong gelap tepi jalan.

            Lex Lee pantas menekan brek kuat, dia terkejut. Kereta Toyota Estima hitam itu berpusing-pusing beberapa kali di atas jalan raya sebelum menjunam ke dalam gaung. Jeritan demi jeritan semakin tenggelam, hanya dentuman kuat dan pukulan-pukulan menyakitkan singgah menyentap kegembiraan yang baru mahu menjengah malam. Terasa darah mengalir di pipi, Lex Lee tidak dapat melihat apa-apa lagi. Seluruh ruang itu gelap dan sunyi. Percikan kaca menyiat semua harapan yang tinggal. Tiada suara manja dan halus Yuki, tiada lagi rengekan Yung Jin mahu itu ini. Terlalu sunyi, hingga dia tidak mendengar apa-apa lagi. Matanya terpejam rapat. Hanya mampu merasai nadi sendiri yang semakin perlahan.




***Eh, apa jadi?? Lex Lee kemalangan? apa yangberlaku kepada Yuki dan Yung Jin? haa.....kalau nak tahu kisah selanjutnya, sila dapatkan Novel 'Hanya Mahu Mencintaimu II' insyaallah ia lebih menarik, lebih menyentap hati !